ATLANTA: Juara dunia Argentina akan membuka tirai Copa America pagi Jumaat ini dengan Lionel Messi mengintai peluang untuk merangkul kejuaraan sebenua kali kedua dalam apa yang dilihat penampilan terakhirnya pada kejohanan itu.
Kejohanan berusia 108 tahun itu diadakan di Amerika Syarikat (AS) dengan tuan rumah antara enam pasukan dari zon CONCACAF menyertai 10 negara Amerika Selatan memburu tempat ke final pada 17 Julai di Miami.
Ketika FIFA akan memantau rapi penganjuran kejohanan itu, dua tahun sebelum Piala Dunia yang akan dihos bersama AS, Kanada dan Mexico, sejarah gemilang kejohanan itu dan prestijnya bermakna ia bukan sekadar satu ‘kejohanan ujian.’
Argentina memenangi Copa 15 kali tetapi hanya sekali ketika era Messi pada 2021 dan jurulatih Lionel Scaloni bergantung harap sepenuhnya kepada skuad juara Piala Dunia, dengan pemain veteran Angel Di Maria dan Nicolas Otamendi kemungkinan besar beraksi kali terakhir pada kejohanan utama.
Sama ada ini penampilan terakhir Messi dalam bola sepak elit antarabangsa masih belum dipastikan – pemenang Ballon d’Or lapan kali itu, yang kini beraksi dalam Major League Soccer bersama Inter Miami, akan berusia 37 tahun selepas aksi pembukaan di Atlanta menentang Kanada pagi Jumaat ini dan masih belum memutuskan jika dia cuba untuk bermain dengan rekod penampilan enam Piala Dunia.
“Hebat untuk mempunyai rekod dan terus meraih sesuatu tetapi saya tidak akan bertanding pada Piala Dunia hanya untuk menyatakan saya sudah berada di sana enam kali,” kata Messi kepada ESPN minggu lalu.
“Jika saya berasa bagus dan semuanya lancar buat saya untuk ke sana, baik, tetapi saya tidak akan pergi hanya kerana mahu pergi. Ia sukar untuk dibayangkan apa yang akan berlaku kerana masih ada dua tahun lagi. Saya tidak perlu menyatakan komitmen sekarang sama ada ya atau tidak saya akan ke sana,” katanya.
Apa yang pasti Messi, yang berjaya berada pada tahap kecergasan terbaik menjelang kejohanan itu, teruja dengan peluang untuk memenangi tiga kejuaraan utama berturut-turut bersama negaranya selepas bertahun-tahun mengharungi kekecewaan dengan pasukan kebangsaan.
Selepas berdepan Kanada, Argentina akan menentang Chile di New Jersey sebelum menamatkan aksi Kumpulan A menentang Peru di Miami tetapi mereka sedar lawan yang lebih sukar menanti di peringkat kalah mati dengan musuh utama Brazil dan Uruguay dijangka mencabar kejuaraan.
Brazil bergelut pada kelayakan Piala Dunia 2026 zon Amerika Selatan sesudah hanya menang dua daripada enam perlawanan pertama mereka dan kini di tangga keenam selepas tumpas di tangan Uruguay, Colombia dan Argentina.
Beberapa nama biasa terkeluar daripada skuad Brazil kendalian Dorival Junior dengan Casemiro, Gabriel Jesus dan Thiago Silva diketepikan manakala Richarlison dan Neymar kedua-duanya mengalami kecederaan.
Tekanan pasti memuncak buat duo serangan Real Madrid, Vinicius Junior dan Rodrygo untuk menterjemahkan persembahan cemerlang mereka di kelab kepada kejayaan bersama Selecao dengan pemain berusia 17 tahun, Endrick yang akan berpindah ke Real dari Palmeiras bulan depan dijangka membuat kemunculan sulung di peringkat senior.
Uruguay, juga juara 15 kali, memukau di bawah kendalian jurulatih Argentina berusia 68 tahun, Marcelo Bielsa, yang membawa bersamanya corak permainan penuh tenaga sekali gus meningkatkan jangkaan susulan kemenangan terbaharu ke atas Argentina dan Brazil.
Penyerang Liverpool, Darwin Nunez akan mengetuai serangan sekalipun Bielsa mempunyai pilihan dengan menampilkan pemain veteran Luis Suarez dari bangku simpanan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.