LONDON: Pep Guardiola menyambung kontraknya sebagai pengurus juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City selama dua musim lagi, berkata semalam “saya tidak boleh pergi sekarang” ketika kelab itu berdepan tempoh paling sukar buatnya di Stadium Etihad.
Ada spekulasi karier pengendali berusia 53 tahun itu di City akan berakhir, dengan kelab itu berdepan masa depan tidak menentu susulan pendengaran 115 kes melanggar peraturan kewangan Liga Perdana – tuduhan yang dinafikan mereka sekeras-kerasnya.
City juga berdepan empat kekalahan berturut-turut dalam semua pertandingan – terburuk dalam karier pengurusan Guardiola, tidak termasuk kekalahan penentuan penalti – sekalipun mereka kini di tangga kedua EPL, lima mata di belakang pendahulu Liverpool.
Laporan Selasa lalu menyebut Guardiola, yang mana perjanjian terdahulu berakhir hujung musim ini, akan kekal sekalipun pengarah bola sepak City, Txiki Begiristain, sekutu rapatnya, sudah mengesahkan pemergiannya pada hujung kempen.
Namun dalam temu ramah bersama saluran media kelab susulan pengumuman sambungan kontraknya semalam, Guardiola berkata beliau berasakan ini mungkin musim terakhirnya di Etihad tetapi kedudukan semasa kelab itu mengubah fikirannya.
“Saya fikir saya tidak boleh pergi sekarang, semudah itu,” katanya.
“Jangan tanya saya apa alasannya. Mungkin empat kekalahan itu alasan kenapa dan saya berasa saya tidak boleh pergi begitu saja. Saya berasakan kelab masih mahukan saya atau hakikat kami bersama dan itulah sebabnya kami menandatangani perjanjian.
“Saya seronok di sini. Saya sukakan tugas saya. Saya suka menjadi pengurus kelab ini.
“Saya sudah katakan berkali-kali sejak bertahun-tahun lalu, saat saya tidak mempunyai perasaan itu, sekalipun masih ada kontrak, saya akan menelefon pengerusi saya dan CEO dan berkata terbaik buat kelab sekarang adalah saya pergi.
“Saya tidak mempunyai perasaan itu sekarang dan itulah sebabnya saya melanjutkan sedikit lagi.”
Guardiola mengambil alih di City pada tahun 2016 dan sejak itu menang sejumlah 18 trofi bagi semua pertandingan, termasuk enam kejuaraan EPL dengan empat terakhir hadir secara berturut-turut – satu rekod Inggeris.
Beliau mengemudi City merangkul treble EPL, Piala FA dan Liga Juara-Juara pada tahun 2023, manakala kelab itu turut memenangi Piala Liga empat tahun berturut-turut di bawah kendaliannya antara 2018 dan 2012. – Agensi
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.