IPOH: Beregu campuran gandingan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin menjadi penawar buat kem badminton negara pada kemuncak saingan Badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia 2023 di Ipoh hari ini.
Pang Ron dan Su Yin yabg tampil selaku pilihan ke-5 nyata tidak menghampakan apabila muncul juara menewaskan pasangan Taiwan, Lin Yu Chieh-Hsu Yin Hui 21-17 21-19.
Apa yang pasti satu kejayaan yang boleh dibanggakan memandangkan mereka hanya digandingkan bersama awal bulan ini dan ini penampilan kedua mereka selepas tersingkir awal pada Masters Korea minggu lalu.
Malangnya kecemerlangan Pang Ron – Su Yin gagal dituruti tiga lagi wakil negara yang turun beraksi pada aksi final selepas itu.
Beregu wanita Ng Qi Xuan – Yap Yee kalah kepada pasangan Taiwan, Lin Chih Chun-Sung Yu Hsuan 11-21, 18-21.
Agak mengecewakan, turut bergelar naib juara, perseorangan wanita Wong Ling Ching yang diletakkan pilihan ke-4, apabila tewas kepada pemain Jepun Miho Kayama.
Kayama yang meniti pusingan kelayakan untuk ke undian utama, menang 23-21, 16-21.
Harapan untuk menyaksikan beregu lelaki Fazriq Razif -Wong Vin Sean untuk meraih gelaran juara, juga tidak kesampaian.
Mereka tumpas kepada wakil Jepun, Takuto Inoue-Masayuki Onodera 16-21, 21-18, 15-21 membolehkan Jepun membolot tiga daripada lima kejuaraan di Ipoh.