Tumpuan :
Sukan

Muhammad Fareez, Liek Hou bangkit menang emas di Bahrain

Muhammad Fareez Anuar dan Cheah Liek Hou memenangi pingat emas dalam kategori beregu lelaki SU-5 (kecacatan fizikal) pada Kejohanan Badminton Para Bahrain Antarabangsa 2024 di Manama, Bahrain. – FOTO: Ihsan MSN/ Facebook

KUALA LUMPUR: Gandingan mantap Muhammad Fareez Anuar dan Cheah Liek Hou membuktikan kehebatan mereka di pentas antarabangsa apabila berjaya meraih pingat emas dalam kategori beregu lelaki SU-5 (kecacatan fizikal) di Kejohanan Badminton Para Bahrain Antarabangsa 2024 yang berlangsung di Manama, Bahrain.

Pada aksi final yang berlangsung di Isa Sport City semalam menyaksikan gandingan Muhammad Fareez-Liek Hou menumpaskan gandingan Indonesia, Dheva Anrimusthi dan Hafizh Briliansyah Prawiranegara, 13-21, 21-17 dan 21-16 dalam tempoh 59 minit perlawanan.

Ini merupakan kemenangan kali kedua mereka ke atas pasangan sama, sebelum ini di Kejohanan Dunia Para Badminton Royal Beach Cliff pada Februari lepas.

Muhammad Fareez turut membawa pulang pingat perak dalam acara perseorangan SU-5 selepas ditewaskan Dheva dalam pusingan akhir yang berkesudahan 15-21, 17-21.

Sementara itu, Cheah Liek Hou meraih gangsa selepas ditundukkan Muhammad Fareez 17-21, 22-20, 21-23 dalam peringkat separuh akhir.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menerusi laman Facebook rasminya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Liek Hou dan Muhammad Fareez atas kejayaan tersebut dengan menggunakan tanda pagar #KitaSemuaTeamMAS. — BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini