Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin
KELANA JAYA: Kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri gagal dimanfaatkan Selangor FC apabila tumpas di tangan Muangthong United dalam aksi kelima Liga Juara-Juara Asia Dua.
Lebih menghampakan, Red Giants terlepas peluang menyambar slot ke pusingan kalah mati dari kumpulan H lebih awal berikutan dipintas pelawat yang mengambil alih kedudukan kedua berbaki satu perlawanan.
Jaringan Quentin Cheng minit (m) kelima seakan petanda tuan rumah menggenggam tiga mata berharga.
Tetapi kelab Thailand itu membuat kebangkitan di separuh masa kedua menerusi penyudah Felicio Brown Forbes m-53 dan Poramet Arjvirai m-76 untuk mengecewakan ribuan penyokong setia Red Giants di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Selangor FC mengatur banyak asakan-asakan berbahaya menuju penamat, namun tiga kali peluang terbaik mereka dinafikan tiang gol.
Kekalahan 1-2 itu meletakkan skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi di tangga ketiga, satu mata dipisahkan dengan Muangthong United yang mengumpul lapan mata.
Carta kini dipimpin Jeonbuk Hyundai Motors yang mengesahkan posisi selaku juara kumpulan dengan 12 mata selepas menewaskan Dynamic Herb Cebu di Jeonju.
Tiket naib juara kumpulan kini ditentukan pada aksi terakhir 5 Disember apabila Muangthong United menentang Jeonbuk di Bangkok sementara Selangor FC berdepan wakil Filipina itu di Manila.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.