Tumpuan :
Sukan

MU intai El Ghazi, Arsenal cuba pancing Diomande

Anwar El Ghazi meninggalkan PSV Eindhoven minggu lalu dan boleh menyertai Manchester United di luar jendela perpindahan. – Foto AGENSI

MANCHESTER: Manchester United sedang mempertimbangkan untuk menandatangani pemain sayap Belanda, Anwar El Ghazi sebagai ejen bebas berikutan situasi tidak menentu membabitkan Antony dan Jadon Sancho.

El Ghazi meninggalkan PSV Eindhoven minggu lalu dan boleh menyertai United di luar jendela perpindahan.

Pemain 28 tahun itu, yang pernah menyarung jersi Ajax, Aston Villa dan Everton, berada di Stadium Emirates ketika kekalahan United di tangan Arsenal.

Difahamkan El Ghazi turut mendapat tawaran daripada kelab-kelab Arab Saudi, tetapi United mampu memberi peluang kepadanya untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris.

Pengendali United, Erik ten Hag berdepan masalah di bahagian sayap selepas Antony diarah bercuti sehingga siasatan ke atasnya berkaitan dakwaan serangan oleh tiga orang wanita selesai, dan masa depan Sancho di Old Trafford diragui susulan pertelingkahannya dengan Ten Hag.

Arsenal dilaporkan sedia membida kembali pertahanan Sporting, Ousmane Diomande (kanan) pada jendela perpindahan Januari nanti. – Foto AGENSI

Sementara itu kelab yang berpangkalan di London, Arsenal dilaporkan sedia membida kembali pertahanan Sporting, Ousmane Diomande pada jendela perpindahan Januari nanti.

Arsenal sebelum ini menyaksikan tawarannya yang bernilai 30 juta pound (RM175.7 juta) untuk Diomande ditolak oleh Sporting, dengan bek tengah itu mempunyai klausa pelepasan sebanyak 69 juta pound (RM404.11 juta).

Diomande, 19, yang membuat penampilan sulung untuk Ivory Coast ketika menentang Lesotho baru-baru ini, dilihat mempunyai masa depan yang cerah.

Arsenal mempunyai William Saliba, Gabriel dan Jakub Kiwior sebagai pilihan untuk posisi bek tengah, manakala Ben White juga boleh mengemudi bahagian benteng.

Bagaimananpun dengan Jurrien Timber mungkin terpaksa berehat lebih lama akibat kecederaan ACL, Arsenal terpaka membawa masuk seorang lagi pertahanan pada Januari.

Diomande menyertai Sporting pada Januari tahun ini selepas dipinjamkan ke Mafra oleh Midtjylland.

Bersama Sporting, Diomande membuat 21 penampilan dan menjaringkan satu gol. – AGENSI

Loading...
Terkini