SEPANG: Kongres Tenpin boling malaysia (MTBC) sedang mempertimbangkan satu insentif diberikan kepada wira dan wirawati negara yang cipta kejayaan membanggakan di kejohanan Piala Dunia Persekutuan Boling Dunia (IBF) 2025, baru-baru ini.
Menurut presidennya Datuk Mohammed Najeeb Abdullah, pihaknya sedang meneliti bentuk dan nilai ganjaran yang sesuai untuk diberikan kepada atlet negara yang berjaya membawa pulang dua pingat emas dan dua pingat perak di Hong Kong, minggu lalu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok mengesahkan kejohanan Piala Dunia berkenaan tidak berada dalam Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
Namun bagi Datuk Mohammed Najeeb, pihaknya akan berusaha untuk menghadiahkan sesuatu tatkala ia merupakan sejarah baharu boling negara mencipta kejayaan cukup gemilang di pentas dunia.
“Kita akan berusaha untuk hargai pengorbanan atlet kita ini. Kejayaan itu adalah luar biasa dan kita cubakan dapatkan sesuatu. Saya positif kita akan adakan sesuatu untuk mereka,” katanya.
Mengikut syarat utama pemberian SHAKAM, setiap persatuan sukan yang berada di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) dibenarkan mendaftar dua potensi kejohanan untuk disenarai dalam program berkenaan.
Tambah MTBC, mereka hanya mendaftarkan Kejohanan Asia dan Kejohanan Dunia dan jika kejohanan piala dunia dwi-tahunan itu dimasukan dalam SHAKAM, Natasha Roslan menerima nilai terbesar selepas meraih 1 emas acara individu dan 1 pingat perak berpasukan dengan nilai RM 100,000.
Rafiq Ismail di tangga kedua dengan 1 emas berpasukan dan 1 perak individu dengan jumlah keseluruhan RM 60,000.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.