Tumpuan :
Sukan

MSN tidak tanggung kos delegasi MOM ke Olimpik Paris

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) memaklumkan mereka hanya menanggung kos atlet, jurulatih, pegawai MSN, Institut Sukan Negara (ISN) dan operasi Malaysia House di Paris bagi Sukan Olimpik Paris 2024.

Dalam satu kenyataan hari ini, MSN menegaskan mereka tidak menanggung sebarang kos perbelanjaan delegasi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sepanjang temasya kali ini.

“Kos pembiayaan bagi delegasi MOM adalah di bawah tanggungan MOM dan bagi tetamu mereka dibayar oleh pihak berkenaan dan tidak membabitkan dana kerajaan,” menurut MSN dalam kenyataan itu.

Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila terdapat individu ‘yang tidak sepatutnya’ dilihat berada bersama tetamu khas bagi menonton perlawanan atlet Malaysia sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen mengenai isu kad akreditasi.

Netizen sebelum ini mempersoalkan mengenai jurulatih pemain perseorangan wanita negara Goh Jin Wei, Nova Armada yang tidak dapat mengiringi anak buahnya kerana kad akreditasi terhad.

Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria dirakam duduk bersama isteri dan anak lelakinya di Arena Porte de La Chapelle, ketika perlawanan penentuan pingat gangsa antara beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark.

Namun MOM tampil menjawab menyatakan terdapat peruntukan khas kad akreditasi untuk tetamu pegawai tertinggi mereka di Sukan Olimpik Paris 2024 yang sedang berlangsung.

Bagaimanapun, kad akreditasi itu, yang diluluskan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, tidak sama dengan yang diberikan kepada kontinjen Malaysia, termasuk atlet, jurulatih dan kakitangan sokongan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini