Tumpuan :
Sukan

MSN, MOM kongsi kepakaran dengan universiti sains sukan Jepun

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (duduk kiri) dan Presiden MOM,Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (duduk kanan) menandatangani MoU dengan Universiti Sains Sukan Nippon yang diwakili Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Kenshiro Matsunami di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya, hari ini. Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (berdiri tengah) turut hadir). –  FOTO : Majlis Sukan Negara / FACEBOOK

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Sains Sukan Nippon, Jepun, dengan harapan untuk merealisasikan emas Olimpik.

MoU itu bermatlamat untuk membuka peluang perkongsian pengetahuan serta kepakaran berkaitan bidang teknologi sains sukan dan pendidikan jasmani dengan universiti yang dikenali sebagai Nittaidai itu.

MSN menerusi kenyataan di sosial media memaklumkan universiti itu bersedia menawarkan kepakaran dengan membantu memperkasa pengaplikasian sains sukan menerusi kajian ilmiah, latihan serta teknologi terkini yang diterajui barisan pakar akademik berpengalaman.

Ia juga membuka peluang kepada MSN dan MOM untuk menghantar atlet serta jurulatih kebangsaan mengikuti program tindik dan kem latihan di universiti itu, selain kepakaran bagi projek penyelidikan dalam bidang sains sukan, pembangunan jurulatih serta kurikulum pendidikan jasmani.

“Institusi pengajian tinggi utama Jepun itu memiliki rekod hebat dalam penghasilan atlet bertaraf dunia dan telah melahirkan 137 pemenang pingat untuk kontinjen Jepun di temasya Sukan Olimpik serta Sukan Paralimpik, termasuk 41 pingat emas keseluruhan,” menurut kenyataan MSN.

Pada majlis itu, MSN diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail; MOM pula diwakili Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, manakala Universiti Sains Sukan Nippon diwakili Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Kenshiro Matsunami.

“Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengharapkan dengan MoU yang dimeterai pada hari ini, Malaysia dapat selangkah lebih dekat dalam mencapai hasrat Road to Gold di Sukan Olimpik nanti,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Loading...
Terkini