Tumpuan :
Sukan

Mourinho saman Galatasaray

Pengendali Fenerbahce, Jose Mourinho (kanan) memfailkan saman terhadap Galatasaray selepas mereka mendakwanya membuat kenyataan berbaur perkauman. – FOTO: Reuters

ISTANBUL: Jose Mourinho memfailkan saman terhadap Galatasaray selepas mereka mendakwanya membuat kenyataan berbaur perkauman, kata pengendali Fenerbahce itu.

Fenerbahce dalam satu kenyataan berkata, Mourinho menyaman Galatasaray sebanyak 1,907,000 lira Turkiye (RM233,363) kerana ‘serangan terhadap hak peribadi’ pengendali dari Portugal itu.

Fenerbahce tidak menjelaskan lebih lanjut berkenaan saman berkenaan, yang dilakukan selepas derbi antara kelab Istanbul itu pada Isnin.

Selepas perlawanan yang berkesudahan 0-0 itu, Galatasaray mendakwa Mourinho membuat kenyataan berbaur perkauman dan akan mengambil tindakan mahkamah ke atas pengendali itu.

Mourinho ketika sidang akhbar selepas perlawanan berkata, bangku simpanan tuan rumah ‘melompat seperti monyet’ dan perlawanan mungkin menjadi lebih teruk jika pengadil dari Turkiye mengadili perlawanan.

Mourinho digantung empat perlawanan oleh Persekutuan Bolasepak Turkiye kerana kenyataan berkenaan. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini