comscore
Tumpuan :
Sukan

MMA – Jojo tumbangkan Cruz

DENVER: Johan ‘Jojo’ Ghazali tampil dengan aksi lebih kemas kali ini dalam saingan One Championship siri 168 di Denver, Amerika Syarikat menerusi kemenangan ‘knockout’ di pusingan pertama dalam kategori ‘Catchweight Muay Thai’.

Berdepan wakil Mexico, Josue ‘Tuzo’ Cruz yang berusia lebih 11 tahun berbandingnya, Jojo jelas lebih tenang pada pertarungannya kali ini.

Ia selepas kekalahan yang dialaminya pada perlawanan lalu, tewas kepada petarung Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat pada One 167 di Bangkok, Thailand, Jun lalu, kesilapan yang telah diperbaikinya untuk pertarungan kali ini.

Beberapa kali Cruz dijatuhkan Jojo sebaik perlawanan bermula, namun, lawannya itu tetap bangkit untuk meneruskan pertarungan.

Sehinggalah berbaki 15 saat terakhir, serangan yang dilakukan Jojo memerangkap lawannya itu.

Dan tumbukan tangan kiri Jojo ke arah kepala lawan, pada masa sama, loceng pusingan pertama turut dibunyikan menyaksikan Cruz cuba untuk kembali bangkit.

Pengadil, Justin Brown meneruskan kiraan dan apabila Cruz gagal untuk bangun, perlawanan terus dihentikan, menyaksikan Jojo sah bergelar pemenang.

“Saya rasa sangat bagus, sangat istimewa, pertama sekali saya mahu katakan, Alhamdulillah, tuhan telah berikan segalanya kepada saya, dan secara jujurnya, jika anda bertanya saya 4 ke 5 tahun lalu sama ada saya akan berada di sini, ya, itu sudah pasti.

“Saya telah bekerja keras, kekal konsisten, segalanya, bermandikan darah setiap hari, saya mahu berterima kasih kepada keluarga saya di New Mexico, ayuh.

“Bertarung ini lebih kurang seperti kehidupan, apa yang mahu saya cakapkan, jika kehidupan memberikan tekanan, anda harus bangkit melawan, dan saya berada di sini, Cruz membuat beberapa serangan bahaya sehingga hidung saya berdarah, tetapi saya terus bangkit, saya tidak berputus asa, takkan mengalah dengan mudah.

“Assalamualaikum orang Malaysia, apa khabar korang, sihat ke kat sana, rindu betul Malaysia ni, Malaysia boleh, Alhamdulillah”, kata Jojo selepas perlawanannya dengan Cruz.

Selain kemenangan itu, Jojo turut menerima bonus istimewa, tambahan wang kemenangan sebanyak USD50,000 selepas aksi cemerlangnya menamatkan pertarungan di pusingan pertama.

Jojo kini memegang rekod 25 kemenangan dan hanya 7 kekalahan selepas kejayaan yang dilakar ke atas Cruz.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini