KUALA LUMPUR: Pasukan Mobile Legend Bang-Bang (MLBB) Malaysia tetap tidak mahu dilabel jaguh dunia walaupun menjuarai dua kejohanan antarabangsa, tahun ini.
Menurut penolong jurulatih kebangsaan Poon Kok Sing, cabaran sebenar skuadnya hanya bermula 21 November ini menjelang penyertaan di Kejohanan Dunia M6 2024 yang akan berlangsung di ibu negara sehingga 15 Disember depan.
Skuad MLBB Malaysia cipta sensasi di bumi Arab Saudi apabila muncul juara Kejohanan Dunia E-Sukan (IESF), Jumaat lalu.
Ia merupakan kejayaan kedua wakil negara di Riyadh susulan pencapaian Selangor Red Giants (SRG) menjuarai saingan Mid-Season Cup, Julai lalu.
Tidak mahu terlalu dibuai pencapaian ini; Kok Sing yang terkenal dengan jolokan “Ozoraveki” segera mengalihkan fokus pasukan menjelang misi terpenting kejohanan dunia di Putrajaya bermula 21 November ini.
Beliau berkata demikian selepas pasukan MLBB Malaysia selamat tiba di tanah air, awal pagi tadi.
Kejohanan Dunia M6 dijadualkan bermula Khamis ini membabitkan pusingan kelayakan “Wild-Card”.
Dua pasukan negara yang layak ialah Team Vamos dan SRG yang akan berentap dalam format “Swiss-Round”, 28 November ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.