Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin
PUCHONG: Arena sukan elektronik (e-sport) global sekali lagi akan tertumpu kepada negara ini yang menjadi tuan rumah Kejuaraan Dunia Mobile Legend Bang Bang (MLBB-M6) 13 hari lagi.
Menjadi penganjur buat kali kedua selepas edisi sulung pada 2019, Kuala Lumpur memperkenalkan format baharu yang menjadikan saingan lebih sengit dan segar.
Peringkat kumpulan dimainkan secara ‘Swiss Round’ dimana pasukan bakal memerlukan tiga kemenangan untuk menempatkan diri di pusingan penyingkiran kalah mati.
Ketika itulah 12 pasukan seterusnya akan merintis laluan ke pertarungan ‘Grand Final’ bagi memburu mahkota kejuaraan.
Lapan pasukan ‘wild card’ terlebih dahulu memulakan kempen kelayakan terakhir pada 21 November ini yang menawarkan satu slot ke M6 bagi melengkapkan 16 pasukan utama kesemuanya.
“Untuk format pusingan kumpulan sebelum ini satu pasukan hanya ada peluang bertemu tiga pasukan dalam kumpulan yang sama, tapi dengan format yang baru lebih banyak peluang bertemu dengan pasukan lain jadi untungnya pasukan susah nak jangka jumpa pasukan mana seterusnya lebih menarik serta berikan keterujaan nak tengok semua perlawanan yang ada.” kata Fikri Rizal Mahruddin yang merupakan Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan MOONTON Games.
Selain SRG dan Vamos yang mewakili Malaysia, antara pasukan lain yang merebut hadiah wang tunai berjumlah $1 juta dolar Amerika ialah juara 2019 dari Indonesia RRQ Hoshi, naib juara 2021 dari Filipina Fnatic ONIC PH, juara Eropah dan Asia Tengah, Team Spirit serta jaguh Amerika Selatan, BloodThirstyKings.
“Kemenangan SRG di Riyadh (Juara Pertengahan Musim-msc 2024) dan kemenangan Vamos di MPL menunjukkan bahawa kedua-dua pasukan mewakili Malaysia mampu bagi saingan malah kita dah dengar dari rakan serantau kebanyakan teruja untuk jumpa wakil Malaysia kerana prestasi mereka.” jelas Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim selepas majlis undian hari ini.
Pusingan awal berlangsung sehingga 7 Disember di Pusat Pameran & Konvensyen IOI Putrajaya, diikuti Separuh Akhir dan Grand Final diadakan di Arena Axiata dari 8 hingga 15 Disember ini.
Sambutan luar dugaan yang ditunjukkan peminat menyaksikan kesemua tiket hari kemuncak edisi kali ini sudah habis dibeli selepas sejam ia mula dijual.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.