DOHA: Aksi 90 minit di Stadium Jassim bin Hamad, malam ini, dianggap sebagai penentu nasib Malaysia di pentas Piala Asia 2023.
Hanya kemenangan ke atas Bahrain dalam aksi kedua Kumpulan E itu dilihat mampu membuka laluan lebih baik buat Harimau Malaya untuk melangkah ke pusingan 16 terakhir.
Ia kerana anak buah Kim Pan Gon seterusnya akan berdepan halangan lebih besar apabila menentang calon juara, Korea Selatan pada aksi terakhir kumpulan, Khamis ini.
Selain misi untuk menghidupkan peluang ke pusingan 16 terakhir, pertembungan dengan Bahrain turut menjadi medan buat skuad negara mencipta beberapa rekod baharu.
Seandainya berjaya menundukkan Bahrain, Harimau Malaya akan menamatkan penantian hampir 44 tahun untuk meraih kemenangan kedua di pentas pusingan akhir Piala Asia.
Tiga kali pernah beraksi di kejohanan tertinggi Asia itu, Malaysia hanya merekodkan satu kemenangan ketika mengalahkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-0 pada edisi 1980.
Persembahan terburuk skuad negara di Piala Asia adalah pada 2007 apabila gagal meraih sebarang mata dan pertembungan dengan Bahrain ini juga boleh dijadikan tempat buat Harimau Malaya memperbaiki pencapaian itu.
Selain itu, Harimau Malaya juga boleh menamatkan kemarau panjang selama 46 tahun tidak menang ke atas Bahrain yang mana berdasarkan semakan rekod pertemuan, kali terakhir skuad negara menundukkan pasukan itu pada 1978.
Semua rekod itu tidak mustahil boleh diperbaharui dengan syarat aksi terbaik dapat ditampilkan anak buah Pan Gon terutama mereka harus membuang karakter ‘harimau gugup’ seperti yang berlaku ketika dibelasah Jordan 0-4 dalam aksi pertama, Selasa lalu.
Perancangan taktikal terbaik harus diterapkan dengan pemain juga perlu menyerap segala tekanan yang ada untuk mengatasi cabaran dari Bahrain yang berada di kedudukan 86 dalam ranking dunia.
Kekalahan tipis 1-2 dalam pertembungan terakhir dengan Bahrain ketika kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun 2022 membuktikan bahawa Harimau Malaya yang berada 44 anak tangga di belakang mempunyai keupayaan untuk mencipta kejutan.