MELAKA: Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek optimis barisan pemain muda yang bakal menggalas cabaran negara dalam Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Santander, Sepanyol dari 17 hingga 30 Oktober ini, mampu meraih kejayaan.
Beliau berkata, Malaysia masih mempunyai peluang untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas seperti sasaran badan induk badminton negara itu meskipun bakal menerima cabaran hebat daripada negara jaguh badminton lain.
“Kita tahu di peringkat remaja dunia ini negara seperti China, Korea Selatan, Jepun, Indonesia, Taiwan dan Thailand sangat aktif di peringkat badminton dunia dan ini akan menjadi persaingan yang besar.
“Jadi, kita ini sebagai pesaing sudah tentunya akan beri persembahan yang meyakinkan dan saya optimis peluang itu masih ada, seterusnya skuad negara mampu membawa pulang kejayaan pada pertandingan ini,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutup Kem Bakat Badminton Kementerian Belia dan Sukan (KBS) peringkat zon selatan yang dirasmikan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka VP Shanmugam.
Misbun berkata beliau percaya 17 pemain seperti diumumkan BAM sebelum ini bakal mempamerkan aksi terbaik dan kesemua mereka akan berlepas ke kejohanan itu selewat-lewatnya 12 Oktober ini.
Semalam, BAM mengumumkan senarai pemain yang akan menggalas cabaran negara diketuai Justin Hoh, selain Eogene Ewe Eon bersama pemain Johor Ariffin Nazri, Bryan Jeremy Goonting, Choi Jian Sheng, Fazriq Razif, Wong Vin Sean, Aaron Tai dan Low Han Chen.
Barisan skuad wanita pula terdiri daripada Siti Nurshuhaini Azman, Ong Xin Yee, Siti Zulaikha Azmi, Vannee Gobi, Chong Jie Yu, Lai Ting Cen, Carmen Ting dan Lee Xin Jie. – BERNAMA