KUALA LUMPUR: Datuk Misbun Sidek senada dengan pengurusan tertinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila merasakan perlunya rombakan dibuat dalam struktur kejurulatihan skuad remaja susulan prestasi hambar pemain di Kejohanan Remaja Dunia di Santander, Sepanyol.
Beliau yang memikul tugas selaku Pengarah Pembangunan Remaja BAM mengakui salah satu faktor kegagalan pemain remaja di kejohanan itu adalah disebabkan kelemahan dari aspek kekuatan fizikal.
“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan pemain mengambil kira kami tidak mempunyai persiapan terbaik bagi menghadapi kejohanan kali ini.
“Semua pemain beraksi kali pertama dalam kejohanan kali ini dan kami tidak mempunyai maklumat mengenai pencabar kami dan negara kuasa besar badminton yang lain kerana sudah dua tahun Kejohanan Remaja Dunia tidak diadakan berikutan pandemik COVID-19.
“Malah, ini juga adalah tugasan pertama saya di Kejohanan Remaja Dunia. Dari aspek taktikal dan teknikal, pemain kita tidak jauh ketinggalan tetapi apa yang saya lihat kita masih lemah dari aspek kekuatan fizikal.
“Saya sudah mengenal pasti apa yang perlu dilakukan untuk meningkatkan lagi prestasi pemain dan salah satunya adalah rombakan dalam struktur kejurulatihan. Saya juga mungkin akan membawa masuk jurulatih baharu,” katanya.
Buat kali pertama dalam sejarah kejohanan, tiada seorang pun pemain negara mara ke peringkat suku akhir dan hanya berpuas hati menamatkan saingan di kedudukan kesembilan dalam acara berpasukan campuran.
Empat wakil terakhir negara iaitu perseorangan lelaki Justin Hoh dan Eogen Ewe, Bryan Jeremy Goonting-Choi Jian Sheng (beregu lelaki) dan Bryan-Lee Xin Jie (beregu campuran) – tewas di tangan lawan masing-masing pada aksi pusingan 16 terbaik.
Susulan kegagalan di Santander, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, berkata badan induk itu kemungkinan besar melakukan rombakan dalam struktur kejurulatihan skuad remaja negara yang ketika ini diketuai Misbun.
Mengulas lanjut, Misbun, berkata beliau akan mencadangkan kepada pengurusan BAM untuk memanjangkan tempoh masa latihan pemain remaja negara.
“Selain itu, saya juga mahu mereka menyertai kejohanan di peringkat senior yang bertaraf Siri Antarabangsa dan Cabaran Antarabangsa bagi mempercepatkan lagi proses peningkatan prestasi dan kematangan mereka.
“Perancangan saya selepas ini adalah bagi memastikan mereka benar-benar bersedia untuk menghadapi Kejohanan Remaja Dunia yang akan datang,” katanya.
Selain Misbun, lima lagi jurulatih yang mengendalikan pemain bawah 18 tahun negara ialah Hazwan Jamaluddin, Poh Chai Boon (perseorangan), Pang Cheh Chang, Vountus Indra Mawan and Lufti Zaim (beregu). – BERITA HARIAN