comscore
Tumpuan :
Sukan

Mike Mahen kembali raih gelaran dunia

Jaguh bina badan negara, Syarul Azman Mike Mahen (tengah) merangkul gelaran juara buat kali kelima pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia yang berlangsung di Phuket, Thailand.

KUALA LUMPUR: Jaguh bina badan negara, Syarul Azman Mike Mahen mencipta sensasi apabila merangkul gelaran juara buat kali kelima pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia yang berlangsung di Phuket, Thailand, hari ini.

Atlet berusia 49 tahun itu mengungguli saingan dalam kategori ‘athletic physique’ atas 167cm.

“Saya gagal untuk mempertahankan kejuaraan dunia dan Asia sebelum ini, ia memberi tamparan kepada saya. Saya sangat kecewa dan ramai menganggap kerjaya saya sudah berakhir namun kini saya membuktikan saya berjaya bangkit.

“Saya menjadikan kekecewaan itu sebagai motivasi. Saya bekerja lebih keras dan saya gembira semua pengorbanan yang dilakukan berbaloi.

“Ia memberi satu kelegaan kepada saya apabila sekali lagi muncul juara dunia dan tahu yang saya masih mampu untuk menyumbang emas,” kata Syarul.

Syarul yang lebih mesra dengan panggilan Mike mula meraih gelaran dunia pada tahun 2016 dan mempertahankannya pada 2017, 2018 dan 2019.

Pada tahun 2020, kejohanan terpaksa dibatalkan akibat pandemik COVID-19 tetapi Mike terlepas gelaran juara pada edisi 2021.

Dia yang memenangi pingat emas Sukan SEA Hanoi, Mei lalu bagaimanapun mengalami satu lagi kekecewaan apabila gagal mempertahankan kejuaraan dan memenangi gelaran keenam pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia di Maldives, Julai lalu.

Loading...
Terkini