comscore
Tumpuan :
Sukan

MFL sahkan KL City belum buat rayuan tuntut 6 mata

Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kuala Lumpur City FC.

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan pihaknya masih belum menerima sebarang rayuan secara rasmi daripada Kuala Lumpur City FC yang sebelum ini mahu menuntut semula enam mata yang dipotong First Instance Body (FIB) berikutan deklarasi tunggakan tidak tepat ketika proses pelesenan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Giorgio Pompili Rossi berkata, pihaknya tidak boleh bertindak tanpa sebarang kenyataan rasmi daripada kelab terbabit ataupun sekadar bersandarkan kepada maklumat menerusi media sosial semata-mata.

Rossi menegaskan KL City FC boleh mengemukakan rayuan, namun pengelola Liga Malaysia (Liga-M) itu masih perlu mengendalikan perkara berkenaan mengikut undang-undang yang diperuntukkan.

“Kami belum menerima apa-apa rayuan atapun kenyataan rasmi. Saya tidak boleh berpandukan kepada sosial media tetapi setakat ini, tiada apa-apa untuk pihak saya pertimbangkan dan kita tidak boleh buat keputusan berdasarkan sesuatu yang tidak rasmi.

“Semua pihak boleh mengemukakan (rayuan) tetapi kita perlu sedar bahawa (MFL) ada undang-undang kerana kita ada banyak pasukan, jadi kita tetapkan had dan mengikut undang-undang. Sama ada mereka ada duit untuk membayar lebih (denda), itu bukan soalnya.

“Tetapi kalau ada permintaan, kita akan dengar. Saya pun mengharapkan KL City FC dapat melangkah ke depan dan dapat menyelesaikan segala masalah yang dihadapi ketika ini,” kata Rossi.

Sebelum ini, Presiden Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar melontarkan hasrat untuk membuat rayuan demi menebus semula enam terbabit sekiranya perlu membayar tambahan denda daripada badan induk itu.

Sekiranya KL City FC tidak dipotong enam mata oleh FIB, skuad bimbingan Miroslav Kuljanac itu sepatutnya menghimpun 20 mata selepas mengharungi 12 perlawanan Liga Super.

Pungutan 20 mata itu membolehkan mereka menghuni tangga ketiga Liga Super dengan hanya enam mata di belakang pasukan di tangga kedua, Selangor FC (SFC) tetapi hakikatnya, mereka kini hanya memiliki 14 mata sekali gus menghuni tangga kelapan Liga Super.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini