PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah yang murka terhadap keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kepada Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC).
Tegas Amirudin, kemurkaan Sultan Selangor itu menggambarkan kemarahan serta kekecewaan peminat bola sepak terhadap keputusan MFL.
“Mewakili Kerajaan Negeri Selangor, patik menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, yang murka atas keputusan yang dibuat oleh Malaysian Football League (MFL) terhadap Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC).
“Titah murka Tuanku Sultan Selangor turut menggambarkan kemarahan serta kekecewaan peminat bola sepak terhadap keputusan MFL yang seolah-olah hilang sifat kemanusiaan, bertimbang rasa, serta melampaui batas.
“Keganasan jenayah yang berlaku terhadap tonggak bola sepak negeri Saudara Faisal Halim merupakan satu titik hitam dalam sejarah bola sepak tanahair,” jelasnya.
Tambah Amirudin lagi, sebagai badan pentadbir liga bola sepak, MFL sewajarnya memainkan peranan mengangkat keadilan, menentang keganasan.
Serta bersifat empati terhadap nasib dan keselamatan pemain bola sepak negara yang diperlakukan dengan kejam oleh pihak tidak berhati perut dan pengecut.
“Titah Tuanku Sultan Selangor dizahirkan setelah tindakan MFL yang bukan sahaja mengenakan denda RM100,000 kepada pasukan Selangor FC, tetapi menambah hukuman dengan memaksa perlawanan di Selangor dimainkan tanpa penonton.
“Tambahan kepada itu, MFL bertindak menambah beban Selangor FC dengan mengenakan denda pemotongan tiga mata pada masa pasukan JDT sudah menerima kemenangan percuma dalam Piala Sumbangsih.
“Tindakan yang tidak pernah berlaku ataupun ‘unprecedented’ ini yang mengundang rasa kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan para penyokong seharusnya menjadi isyarat kepada MFL bahawa keputusan mereka dibuat tanpa sebarang rasa tanggungjawab,” tegasnya lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.