KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan ‘kebocoran’ mengenai surat tawaran kontrak kepada pemain Selangor FC (SFC) yang tular di media sosial baru-baru ini bukan berpunca daripada pihak mereka.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya hanya menerima kontrak pemain dan bukannya surat tawaran kontrak yang diberikan kepada pemain pasukan terbabit.
“MFL tidak akan memberi sebarang kenyataan kepada media sosial tetapi disebabkan ada pertanyaan daripada pihak media, jadi kita akan jelaskan.
“Sistem MFL adalah muat naik kontrak pemain tetapi surat tawaran ini tidak wujud dalam sistem kita. Jadi dakwaan itu adalah tidak berfakta dan tidak bertanggungjawab.
“Kita ambil peluang susulan pertanyaan media untuk jelaskan bahawa dokumen ini tidak wujud dalam sistem MFL,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Jalinan Kasih AEON BiG dan MFL di Wangsa Maju, semalam.
Terdahulu, sebuah laman Facebook dengan nama Harimau Selatan X mendedahkan surat tawaran buat pemain import The Red Giants bagi musim 2023.
Dalam surat tawaran yang memiliki jata SFC dan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidon, butiran lanjut kontrak turut didedahkan pada hantaran terbabit termasuk gaji RM132,000.
Bagaimanapun, SFC menafikan dakwaan bahawa pemain pasukan itu ditawarkan gaji sehingga RM132,000 dan menegaskan surat yang tular itu palsu, tidak tepat dan fitnah.
Susulan itu, timbul hantaran di media sosial mendakwa ‘kebocoran’ maklumat mengenai surat tawaran itu adalah berpunca daripada badan pengendali liga itu.
Ketika ditanya sekiranya MFL ada berhubung dengan SFC mengenai isu terbabit, Stuart menyatakan pengurusan pasukan itu pasti memiliki pengetahuan mengenai dokumen yang sudah dimuatnaik dalam sistem MFL.
“Saya rasa SFC tahu apa yang dimuat naik dalam sistem kita. Kita tidak muat naik apa-apa dokumen tetapi pasukan (yang lakukannya).
“Saya percaya SFC tahu yang dokumen ini bukan datang daripada MFL,” tegasnya.