Tumpuan :
Sukan

 Messi ledak hatrik pada ulang tahun kelahirannya yang ke-36

Foto : ARGENTINE FOOTBALL ASSOCIATION /Facebook

SANTA FE: Lionel Messi menikmati penghujung kariernya dengan penuh detik manis dan saat indah ketika ini. Terbaharu, bintang Argentina itu meraikan hari lahirnya yang ke-36 tahun dengan meledak hatrik dalam perlawanan persahabatan menentang kelab lamanya, Newell’s Old Boys.

Pemenang tujuh kali Ballon d’Or itu mendapat sambutan bak wira ketika kembali ke kampung halamannya di Rosario dengan 42,000 peminat melaungkan namanya.

Messi melengkapkan hatrik di babak pertama selepas membuka jaringan menerusi sepakan percuma pada minit keempat. Perlawanan yang diadakan sebagai penghargaan kepada bekas bintang Liverpool, Maxi Rodriguez berakhir dengan kemenangan 4-2 memihak Argentina.

“Sudah lama saya tidak sambut hari lahir di Rosario dengan keluarga dan rakan-rakan. Walaupun apa yang kami lakukan (memenangi Piala Dunia) sangat istimewa dan unik. Impian bagi setiap pemain bola sepak ialah memikirkan apa yang akan berlaku berbanding apa yang sudah pun berlaku.

Apabila tiba waktu untuk saya bersara, saya akan lebih mengingati dan menikmati semua yang sudah dicapai,” kata Messi.

Messi mengejutkan dunia bola sepak apabila memilih untuk menyertai Inter Miami yang dimiliki David Beckham awal bulan ini.

Sebelum ini Messi dikaitkan dengan kepulangan ke Barcelona dan Liga Pro Saudi, tetapi memilih kelab Major League Soccer itu kerana mahu kehidupan yang lebih tenang.

Messi dijangka membuat penampilan sulungnya menentang kelab Mexico, Cruz Azul pada 21 Julai depan.

Loading...
Terkini