comscore
Tumpuan :
Sukan

Menteri lega Norza kekal teraju BAM

ALOR SETAR : Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampak lega apabila permintaannya agar Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria kekal menerajui persatuan itu tertunai.

Hannah melalui hantaran di media sosialnya minggu ini secara terbuka, merayu kepada Norza yang mengumumkan hasrat untuk mengundur diri dari jawatan itu hujung bulan ini, memikirkan semula keputusan itu demi persiapan program Road to Gold (RTG).

 

Jelas beliau, keputusan Norza mengekalkan jawatannya sehingga tamat penggal 2025 adalah penting kerana atlet badminton dalam persiapan rapi menjelang kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Saya percaya dengan keputusan yang dibuat Norza bersama BAM, ini adalah untuk perancangan RTG untuk tahun depan. Apabila masuk Januari sahaja, kita boleh mula dengan rancangan persiapan untuk ke olimpik nanti.

“Sekarang ini adalah proses untuk pemain badminton melayakkan diri masuk ke olimpik, semua itu harus jadi fokus kita bersama. Ini adalah masa untuk hentikan semuanya dan fokus kepada misi untuk dapatkan emas,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu Hannah hadir Majlis Penyerahan Rasmi Pusat Skuasy Kedah kepada kerajaan negeri yang diwakili EXCO Belia dan Sukan, Radhi Mat Din.

Mengulas mengenai fasiliti sukan terbabit, Hannah berkata, ia selaras dengan pengumuman skuasy akan dipertandingkan pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028, selepas ia diperjuangkan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) sejak sekian lama.

Sementara itu, Hannah memaklumkan laporan kerosakan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak akan diumumkan kepada orang ramai kerana ia dibuat sebagai siasatan dalaman oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Katanya, laporan berkenaan akan dibentangkan kepada Lembaga Pengarah PSM awal Januari depan, sebelum sebarang cadangan penambahbaikan akan dibuat bagi memastikan kejadian itu tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Loading...
Terkini