Tumpuan :
Sukan

Menteri kongsi gambar baharu SNBJ, bukti sedia untuk digunakan 

KUALA LUMPUR: Persoalan berhubung venue perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akhirnya terjawab malam ini apabila gambar terbaharu dikongsi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerusi Facebook rasminya, memperlihatkan keadaan padang terkini dalam keadaan yang cukup baik.

Gambar padang SNBJ itu kelihatan sangat cantik serta seperti sudah bersedia untuk perlawanan Malaysia menentang Oman bagi Kelayakan Piala Dunia 2026 /Piala Asia 2027 malam esok.

Jelas Hannah, Komisioner Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang ditugaskan untuk mengendalikan perlawanan esok juga menasihatkan agar padang tidak digunakan oleh kedua-dua pasukan bagi memastikan keadaan padang kekal terjadi rapi.

Selain itu, venue yang dikatakan tidak sesuai untuk perlawanan itu diadakan juga sudah mendapat kelulusan daripada komisioner ketika hadir memeriksa keadaan pada.

Oleh itu, beliau turut mengajak orang ramai memenuhi stadium esok untuk menyokong pasukan kebangsaan dalam perlawanan yang cukup penting bagi mencapai kemenangan sekali gus mencerahkan peluang Malaysia ke pusingan seterusnya.

“Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) menerusi Match Commissioner (Komisioner Fifa) tidak benarkan pasukan Malaysia dan Oman berlatih di SNBJ kerana hujan pada waktu petang kebelakangan ini.

“Padang SNBJ mendapat kelulusan MC untuk perlawanan dan penyokong Harimau Malaya digesa turun ke SNBJ untuk berikan sokongan paling padu,” katanya menerusi Facebook rasminya.

Media sebelum ini melaporkan pasukan Malaysia dan Oman secara rasminya tidak boleh mencuba atau menjalani latihan rasmi di Stadium Nasional, Bukit Jalil menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, malam esok.

Situasi terbabit bertentangan dengan kebiasaan iaitu pasukan bertanding diberikan peluang untuk mencuba padang digunakan untuk perlawanan menerusi sesi latihan rasmi sehari sebelum aksi sebenar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini