Oleh Saiyed Ismail Saiyed Hussin
PETALING JAYA: Dua pasukan Liga Super, Melaka United dan Sarawak United masih belum mahu mengucapkan selamat tinggal kepada kempen saingan liga apabila meneruskan usaha mendapatkan lesen kebangsaan yang menjadi syarat wajib untuk beraksi musim depan.
Ini kerana kedua-dua pasukan difahamkan sudah mengemukakan rayuan kepada pihak jawatankuasa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ia ditutup tepat jam 5 petang tadi.
Proses seterusnya ialah semakan semula memandangkan keputusan perlu dibuat sebelum tarikh 28 Oktober ini.
Ia memang saat yang cukup genting ketika ini buat Melaka United dan Sarawak United selepas dinafikan untuk mendapatkan lesen lebih awal berikutan gagal memenuhi syarat berkaitan dokumen yang perlu disertakan.
Hanya diberi masa selama seminggu sehingga jam lima petang tadi, kedua-dua pasukan nampaknya mengharapkan peluang terakhir yang digunakan dapat memberikan sinar semula selepas berada diambang penyingkiran saingan liga.
Fasa berikutnya agak getir kerana seperti pernah dinyatakan, jawatankuasa rayuan hanya akan mempertimbang dan menyemak semula dokumen-dokumen yang telah dihantar sebelum ini dan tiada tambahan dokumen boleh disertakan bagi melengkapkan kekurangan yang telah diputuskan ‘First Instance Body, (FIB).
MFL menerusi FIB 12 Oktober lalu mengesahkan hanya 16 pasukan, masing-masing 10 pasukan Liga Super dan enam pasukan Liga Premier mendapat kelulusan bagi lesen kebangsaan sekaligus melayakkan mereka untuk beraksi musim 2023.