Tumpuan :
Sukan

Melaka FC juara Liga A1 Semi-Pro

FOTO: Melaka FC

MELAKA: Melaka FC dinobatkan juara baharu Liga A1 Semi-Pro biarpun terikat 0-0 ketika berdepan pesaing terdekat mereka Imigresen FC (IFC) di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Biarpun berbaki dua perlawanan dalam melengkapkan liga namun catatan juara terpahat kukuh dalam sejarah Liga A1 Malaysia musim 2024-2025 kali ini.

Malah, sebarang kekalahan atau kemenangan buat kedua-dua pasukan pada dua aksi berikutnya tidak akan menggugat kedudukan Melaka FC dinobatkan gelaran secara rasmi berdasarkan 65 mata yang diperolehi selepas mengharungi 26 perlawanan.

Dengan keputusan terbabit Melaka FC secara automatik bakal bersaing di Liga Super musim depan.

Tanpa sebarang jaringan pada babak pertama, Melaka yang mahu menoktahkan keputusan perlawanan dengan mata maksimum terus menggandakan asakan pada babak kedua.

Namun percubaan penjaring terbanyak mereka Azim Rahim pada minit ke-63 dan Fikri Shah minit ke-68 berjaya diselamatkan penjaga gol pelawat Izarul Abdul Nasir.

Pelawat yang mahu mencipta kemenangan bagi menafikan Melaka merampas kejuaraan yang dimiliki musim lalu bagaimanapun hampa kerana gagal merobek gawang tuan rumah dalam usaha mengintai peluang pada baki dua perlawanan lagi jika mereka meraih tiga mata malam ini.

Akhirnya, IFC akur dengan keputusan tanpa jaringan terbabit, begitu juga Melaka yang ingin mencatat kejayaan lebih manis dengan kemenangan, namun turut akur tanpa membolosi gawang pelawat tetapi sudah cukup mengakhiri liga dengan kejuaraan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini