MANCHESTER: Manchester United menewaskan Brentford 2-1 selepas Scott McTominay menjaringkan dua gol pada masa kecederaan sekaligus bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan sensasi Liga Perdana Inggeris EPL di Old Traffod.
Dalam perlawanan itu, skuad The Red Devils kendalian Erik Ten Hag membariskan kesebelasan terbaik dengan pemain bintang seperti Marcus Rashford, Bruno Fernandes dan Mason Mount mengetuai jentera serangan.
Namun tuan rumah dikejutkan dengan gol The Bees yang berjaya mendahului hasil ledakan Mathian Jensen selepas menerima hantaran Yoane Wissa pada minit ke-26.
Bersambung pada babak kedua, Ten Hag membuat rombakan dengan memasukkan pemain gantian seperti Christian Eriksen, Anthony Martial dan Scott McTominay dalam usaha memburu gol penyamaan.
Ia nyata berhasil apabila McTominay menjaringkan gol pertama pada minit ke-3 masa kecederaan hasil sepakan yang mengelirukan penjaga gol lawan di kotak penalti.
Momentum tersebut digunakan sekali lagi oleh McTominay untuk meledak jaringan kemenangan sebelum wisel penamat ditiupkan selepas menyudahkan hantaran Harry Maguire, sekali gus muncul wira United.
Keputusan itu menyaksikan United kini meraih 12 mata selepas mengharungi 8 perlawanan musim ini.