Tumpuan :
Sukan

Mbappe Dahului Senarai Pemain Bola Sepak Berpendapatan Tertinggi

Penyerang Perancis dan Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe mendahului senarai pemain bola sepak berpendapatan paling tinggi. | Foto: AFP

NEW YORK: Penyerang Perancis dan Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe mendahului senarai pemain bola sepak berpendapatan paling tinggi, menurut laporan majalah Forbes.

Menurut laporan itu, Mbappe melepasi angka AS$100 juta (RM465 juta) pada usia 23 tahun manakala legenda seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo berada dalam usia 30-an dan di kemuncak karier masing-masing ketika mencapai jumlah itu buat pertama kali.

Mbappe menandatangani lanjutan kontrak tiga tahun pada Mei lalu untuk terus bersama skuad Ligue 1, Paris Saint-Germain.

Forbes melaporkan, perjanjian itu membolehkan Mbappe menerima gaji AS$110 juta (RM511.51 juta) dan bonus serta pendapatan periklanan mencecah AS$18 juta (RM83.7) daripada jenama seperti Nike, Dior, Hublot dan Oakley.

Wajah Mbappe turut menghiasi muka depan permainan video EA Sports FIFA, dan dia juga menubuhkan syarikat penerbitan Zebra Valley serta melabur dalam platform NFT, Sorare.

“Dia kini adalah ikon global. Dia mahu membantu dunia dan menunjukkan apa yang mampu dibinanya di Perancis,” kata pengasas bersama Sorare, Nicolas Julia.

Rakan sepasukan PSG, Messi, 35, di tangga kedua senarai itu pada AS$120 juta (RM558.01 juta) manakala pemain Manchester United, Ronaldo, 37, ketiga pada AS$100 juta (RM465 juta).

Kedua-dua pemain itu menduduki dia tangga teratas sejak tahun 2014 dan masih mendahului pendapatan menerusi periklanan – Ronaldo pada AS$60 juta (RM279 juta) dan Messi AS$55 juta (RM255.75 juta).

Penyerang PSG, Neymar di tangga keempat pada AS$87 juta (RM404.55 juta), diikuti Mohamed Salah, Erling Haaland, Roberto Lewandowski, Eden Hazard, Andres Iniesta dan Kevin De Bruyne. – AFP

Loading...
Terkini