Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin
BUKIT JALIL: Kempen Liga Hoki Malaysia (MHL) kali ini menjanjikan saingan lebih sengit dalam kalangan 10 pasukan bertanding apabila Matador HC melaungkan kesediaan untuk memberi impak.
Mereka mempunyai misi besar dengan memburu kedudukan empat terbaik carta menerusi penggunaan khidmat satu pemain dari India dan tujuh pemain kebangsaan Pakistan.
“Pemain Pakistan ini sangat bagus bersama dengan bekas pemain kebangsaan kita Baljit Singh dan Jiwa Mohan yang membantu pemain-pemain muda. Saya rasa mereka akan dapat bermain lebih dari 100% kemampuan mereka dan jika menjadi saya rasa tidak ada masalah untuk mencapai sasaran kedudukan empat terbaik,” kata jurulatih K. Yogeswaran hari ini.
Dalam majlis pengenalan pemain import siang tadi, seramai enam daripadanya sudah mula menjalani latihan bersama untuk menyesuaikan diri sementara menanti dua lagi pemain import tiba.
Matador HC berjaya menyambar ketua pasukan senior dan remaja Pakistan iaitu Ahmad Shakeel Butt dan Abdul Hannan Shahid, pakar pukulan sudut penalti Sufyan Khan, Abdul Waheed Ashraf Rana, Usama Bashir, Rana Mohd Waleed Ashraf serta Abdul Manan selain Ankush Lal dari India.
“Kami berada disini untuk menyokong pemain-pemain tempatan di Malaysia dan ia juga merupakan permainan berpasukan bukan tertumpu kepada enam atau tujuh pemain sahaja untuk menewaskan lawan. Kami semua perlu beraksi sebagai satu pasukan dan saling membantu agar hasilnya menjadi seperti dimahukan,” jelas Abdul Hannan yang membantu Pakistan muncul naib juara Piala Asia Remaja di Oman tahun lalu.
Selebihnya, pasukan berpangkalan di ibu negara itu diperkuat 16 pemain tempatan rata-rata berusia bawah 21 tahun.
Matador HC yang menelan belanja RM600,000 hingga RM700,000 untuk membuat penampilan sulung di MHL bakal mengharungi aksi pertama menentang Nur Insafi Sporting di Stadium Hoki Bertam 15 Januari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.