KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan kemasukan percuma bagi menyaksikan kejohanan Malaysia Super 100 2024 di Stadium Juara, Bukit Kiara dari 15 hingga 20 Oktober ini.
Menurut Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, keputusan itu dibuat supaya peminat dapat memenuhi stadium sekali gus memberi sokongan kepada pemain pelapis negara yang bertanding.
Dianjurkan buat edisi kedua, Kenny berharap barisan pemain muda dapat memanfaatkan sebaiknya peluang beraksi dalam usaha mengumpul mata bagi memperbaiki kedudukan ranking dunia.
“Ini adalah kejohanan yang penting kepada pemain pelapis justeru kita mahukan seberapa ramai peminat datang dan memberi sokongan.
“Jadi kami membuat keputusan untuk tidak menjual tiket,” katanya.
Walaupun berlangsung serentak dengan Terbuka Denmark yang berstatus Super 750, Kenny berkata perbezaan zon masa serta kualiti pemain yang bertanding bakal menjadi tarikan kepada Malaysia Super 100.
Antara pemain antarabangsa yang bertanding adalah bekas pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Srikanth Kidambi serta pemain negara termasuklah Justin Hoh dan Eogene Ewe.
Sekalipun berstatus Super 100 BWF, kejohanan Malaysia Super 100 menawarkan hadiah keseluruhan AS$100,000 (RM428,900).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.