Tumpuan :
Sukan

Masters Thailand: Aaron-Khai Xing tersingkir di pusingan kedua

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Kai-Kang Khai Xing mengucapkan selamat tinggal kepada Masters Thailand apabila tersingkir di pusingan kedua kejohanan berstatus Super 300 BWF (Persekutuan Badminton Dunia) itu, hari ini.

Kekalahan juara remaja dunia 2024 itu turut menyaksikan cabaran kesemua pemain negara di kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$240 ribu (RM 1.05 juta) itu berakhir.

Bertemu pilihan kedua kejohanan dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin, Aaron-Khai Xing yang mengisi ranking 58 dunia kalah dalam perlawanan tiga set.

Selepas berjaya mengejutkan pasangan ranking 24 dunia pada set pertama dengan kemenangan 21-19, dua set berikutnya berakhir dengan kekalahan 16-21, 14-21 pada aksi yang berlangsung selama 51 minit.

Sementara itu, dua wakil negara yang beraksi dalam kategori perseorangan lelaki turut berakhir duka apabila masing-masing kecundang kepada lawan masing-masing.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nimibutr, Bangkok itu, bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Jacky Kok tewas straight set kepada pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin 21-13, 21-18.

Dalam aksi lebih awal, seorang lagi pemain berstatus profesional, Aidil Sholeh Ali Sadikin tewas mudah kepada Wang Zheng Xing juga dengan keputusan straight set 9-21, 15-21.

Turut tersingkir adalah satu-satunya wakil perseorangan wanita negara di pusingan kedua, S Kisona yang kalah kepada pemain Indonesia, Putri Kusuma Wardani 21-13, 14-21, 17-21.

Dalam kategori beregu lelaki, gandingan baharu bekas pemenang pingat perak Olimpik, Goh V Shem bersama pemain Korea Selatan, Choi Sol Gyu Korea tidak membuahkan hasil apabila tewas kepada pasangan Indonesia, Leo Rolly Carmado-Bagas Maulana 11-21, 18-21.

Situasi sama turut berlaku di acara beregu wanita apabila satu-satunya wakil negara di peringkat 16 terbaik, Ong Xin Yee-Carmen Ting tersingkir selepas kalah kepada wakil Taiwan, Lin Xiao Min-Wang Yu Qiao 17-21, 21-23.

Mengalami nasib sama adalah pasangan tunggal negara dalam acara beregu campuran, Loo Bing Kun-Ho Lo Ee yang tewas kepada pasangan Indonesia, Adnan Maulana-Indah Cahya Sari Jamil.

Selepas tewas mudah 7-21 pada set pertama, Bing Kun-Lo Ee yang menghuni ranking 79 dunia menang set kedua 21-18 namun tersingkir selepas tewas set ketiga 14-21 dalam tempoh 37 minit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini