KUALA LUMPUR: Bekas juara All England, Lee Zii Jia hanya selangkah lagi untuk merangkul gelaran sulung di laman sendiri selepas mara buat pertama kali di pentas final Masters Malaysia di sini malam ini.
Didorong oleh sokongan padu penyokong tuan rumah di Arena Axiata di Bukit Jalil, pemain nombor 10 dunia itu, yang mengalami kekejangan ketika menewaskan pemain Denmark, Anders Antonsen semalam, menang 21-15, 21-17 ke atas pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long dalam saingan peringkat separuh akhir.
Perlawanan itu juga ibarat aksi ulangan final Terbuka Thailand, Ahad lalu.
Juara Terbuka Thailand, Zii Jia bagaimanapun berdepan tugas berat pada perlawanan akhir esok apabila dijadual bertemu pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen.
Axelsen sedang memburu gelaran pertamanya tahun ini untuk menamatkan kemarau gelaran hampir enam bulan selepas kali terakhir memenangi kejuaraan siri Jelajah Akhir Dunia 2023 Disember lalu.
“Saya tidak fikir terlalu jauh tentang apa yang akan berlaku esok. Saya hanya mahu menenangkan diri, mendapatkan rehat yang secukup dan makan bagi menastikan kembali cergas. Selagi tiada kecederaan serius, saya akan beri yang terbaik di gelanggang,” kata Zii Jia kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Mengikut rekod pertemuan, Axelsen menang enam daripada sembilan pertemuan dengan Zii Jia termasuk kali terakhir pada saingan Piala Thomas di Chengdu, China, bulan lalu.
Axelsen mara selepas menyingkirkan Lu Guang Zu dari China 21-16, 21-13.
Selain Zii Jia, pasangan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut mara ke final dan akan mencabar pasangan Indonesia Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari esok.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.