Tumpuan :
Sukan

Masters Indonesia: Dua beregu negara bertembung sesama sendiri di separuh akhir esok

Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan menentang Man Wei Chong-Tee Kai Wun pada aksi separuh akhir Masters Indonesia esok sekali gus menjamin tiket final buat Malaysia.

KUALA LUMPUR: Satu tiket ke pentas final Masters Indonesia sudah berada dalam genggaman Malaysia selepas dua pasangan negara akan membuat perhitungan pada aksi separuh akhir, esok.

Ia boleh dianggap pertembungan ‘abang adik’ membabitkan bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menentang gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik yang juga pasangan nombor lima dunia mengesahkan tiket ke separuh akhir selepas menundukkan gandingan baharu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Kim Won Ho.

Mereka mengambil masa 41 minit untuk mencatatkan kemenangan 21-19, 21-15 ke atas lawan berkenaan pada aksi suku akhir di Istora Senayan, Jakarta.

Sebagai rekod, ini adalah kali kedua berturut-turut pemenang pingat gangsa Olimpik dua kali itu mara ke kelompok empat terbaik selepas turut melakar pencapaian sama di Terbuka India, minggu lalu.

Sementara itu, Wei Chong-Kai Wun turut melangkah ke separuh akhir kedua mereka musim ini selepas mengetepikan cabaran rakan senegara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King 21-16, 21-16 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Pasangan ranking ke-13 dunia itu sebelum ini mara ke separuh akhir di Terbuka Malaysia, awal bulan ini sebelum terkandas di pusingan pertama Terbuka India, minggu lalu.

Dalam pada itu, nasib tidak memihak kepada beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang tewas dalam pertarungan tiga set di tangan wakil tuan rumah, Rinov Rivaldy-Lisa Ayu Kusumawati 23-21, 11-21, 19-21.

Nasib sama turut menimpa beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing yang tunduk di tangan pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 5-21, 13-21.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini