SEPANG: Juara dunia MotoGP, Jorge Martin disahkan mengalami kecederaan patah tangan kanan dan patah kaki kiri.
Perkara itu disahkan menerusi kenyataan di X @MotoGP.
“Beliau akan kekal di hospital semalaman dan esok akan terbang kembali ke Eropah untuk menjalani pembedahan pada tangan kanan dan kaki kirinya,” menurut kenyataan berkenaan.
Dalam pada itu, pelumba kelahiran Sepanyol berusia 27 tahun berkenaan tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa berikutan terlepas peluang memulakan musim baharu seperti yang dirancang.
Terdahulu, Martin tercampak dari jentera baharu Aprilia RS-GP di selekoh dua Litar Antarabangsa Sepang sekali gus terkeluar daripada ujian rasmi pramusim 2025.
“Bukan permulaan terbaik untuk musim 2025. Tapi Martinator pasti sentiasa kembali lebih kuat,” katanya.
Sebelum kejadian, pelumba yang digelar ‘Martinator’ itu turut terlibat dalam satu kemalangan di Selekoh 1.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.