comscore
Tumpuan :
Sukan

Manfaatkan setiap peluang yang ada – Vicente

Vicente bersama ketua pasukan Harimau Malaya Dion Cools pada sidang media pra perlawanan akhir Pastabola Merdeka 2024. – FOTO: Ihsan FAM

SUBANG JAYA: Mengakui memerlukan sedikit tuah, pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente juga mahu pemain tidak mempersiakan setiap peluang pada aksi final Pestabola Merdeka menentang Lubnan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

“Mungkin kita memerlukan sedikit tuah tetapi kita perlu memanfaatkan setiap peluang

“Apa yang penting, kita mencipta banyak peluang selain bertahan dengan lebih mantap kerana kita berdepan lawan yang lebih sukar kali ini,” kata Vicente pada sidang media pra perlawanan di Subang Jaya, hari ini.

Meskipun mengakui Malaysia memiliki rekod kurang baik berdepan pasukan Timur Tengah namun Vicente optimis sejarah menentang beberapa pasukan Arab sebelum ini membolehkan mereka bersedia sepenuhnya berdepan Lubnan.

Vicente yang juga bekas jurulatih skuad remaja Barcelona menegaskan, mereka sudah banyak kali menentang pasukan dari Timur Tengah dalam tempoh dua tahun ini dan pengalaman itu sudah pasti membantu mereka dalam persiapan untuk menentang Lubnan.

“Kita sudah mengharungi beberapa perlawanan menentang pasukan yang mirip dengan Lubnan seperti Oman, Jordan dan Syria. Saya rasa semua pasukan ini memiliki corak permainan hampir serupa dan pemain yang berkualiti.

“Kita banyak belajar daripada perlawanan terbabit dan kita kena tunjukkan bagaimana kita boleh menyesuaikan diri dengan situasi itu.

“Kadangkala, permainan akan menjadi sukar untuk dijangka, jadi kita fokus kepada taktikal dahulu dan kemudiannya mentaliti,” kata Vicente.

Vicente juga dapat melihat setiap pemain begitu bersemangat untuk mengharungi aksi final malam esok.

Justeru Vicente  mengharapkan mereka dapat tampil dengan aksi yang jauh lebih baik untuk memastikan trofi Pestabola Merdeka 2024 berada dalam genggaman sekaligus menamatkan kemarau kejuaraan lebih 10 tahun mereka.

“Sukar untuk mendapatkan permainan yang sempurna tetapi kita akan cuba yang terbaik, kita harus lebih agresif dengan transisi menyerang dan bertahan yang lebih kemas.” ujar Vicente,

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini