comscore
Tumpuan :
Sukan

Mane tidak beraksi di Piala Dunia

Foto: Reuters

DOHA: Bintang Senegal, Sadio Mane terpaksa diketepikan daripada aksi Piala Dunia selepas menjalani pembedahan susulan kecederaan kaki yang dialaminya ketika aksi Bundesliga, 8 November lalu.

Perkara itu disahkan kelabnya, Bayern Munich dan Persekutuan Bola Sepak Senegal.

Pemain berusia 30 tahun itu menjalani pembedahan di Innsbruk, Austria pada Khamis untuk menyambung semula tendon pada kepala tulang fibula kanannya.

Senegal yang juga juara Afrika sebelum ini berharap pemain terbaik Afrika dua kali itu mampu kembali beraksi dalam tempoh tertentu pada kempen Piala Dunia.

Hampir semua skuad Senegal tiba di Qatar pada Ahad lalu dengan pasukan itu dijadual membuka tirai kempen menentang Belanda, Isnin ini.

Empat hari kemudian, Senegal akan menentang Qatar sebelum bertemu Ecuador untuk aksi terakhir peringkat Kumpulan A.

Senegal menjulang trofi Piala Negara-Negara Afrika buat kali pertama Februari lalu dengan Mane menjaringkan penalti kemenangan ketika menewaskan Mesir pada aksi final.

Mane turut menjaringkan penalti kemenangan ketika aksi playoff Piala Dunia yang membolehkan Senegal mengesahkan tiket ke Qatar. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini