comscore
Tumpuan :
Sukan

Manchester United juara Piala FA, layak ke Eropah

Pemain Manchester United meraikan kejayaan muncul juara Piala FA selepas membenam Manchester City 2-1 di Stadium Wembley. – FOTO: Reuters

WEMBLEY: Manchester United muncul juara Piala FA selepas menewaskan Manchester City 2-1 di Stadium Wembley, malam tadi.

Kemenangan itu sekaligus membolehkan Red Devils turut menempah tiket ke Liga Europa musim depan selepas sekadar menamatkan kempen liga di tangga kelapan, kedudukan terburuk sejak 1990.

Lebih manis, anak buah Erik Ten Hag juga berjaya menghalang musuh tetangga itu daripada melakar sejarah menjadi pasukan pertama memenangi liga dan Piala FA dua musim berturut-turut.

Ketika kedudukan Ten Hag terumbang-ambing dan pemain dihujani kritikan susulan prestasi buruk musim ini, barisan Red Devils jelas tidak menghiraukan isu itu sebaliknya tampil dengan aksi bertahan yang baik untuk menebus kekecewaan tewas pada aksi final sama musim lalu.

Pemain Manchester United, Lisandro Martinez dan pengurus pasukan, Erik ten Hag meraikan kejayaan United memenangi Piala FA. FOTO: Reuters

Malah, mereka mengejutkan City apabila mendahului pada minit ke-30 menerusi Alejandro Garnacho yang memanfaatkan kesilapan pertahanan, Josko Gvardiol dan penjaga gol, Stefan Ortega.

Sembilan minit kemudian, gawang City bolos lagi apabila pemain muda, Kobbie Mainoo menjaringkan gol kedua dengan gerakan menarik untuk mengukuhkan kedudukan United.

Walaupun pemain gantian, Jeremy Doku merapatkan jurang buat City pada minit ke-87 dengan rembatan dari luar kotak penalti, jaringan itu bagaimanapun sudah terlewat untuk anak buah Pep Guardiola mengheret aksi ke masa tambahan sekali gus memastikan United tidak menamatkan musim ini dengan tangan kosong. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini