LONDON: Jutawan berpangkalan di Doha, Sheikh Jassim sudah menubuhkan satu syarikat di United Kingdom (UK) sekali gus menyemarakkan khabar angin beliau akan memenangi persaingan untuk membeli kelab Manchester United.
Jassim adalah salah seorang daripada dua pengarah firma bernama Nine Two UK Holdings yang diperbadankan semalam dan berdaftar di Companies House.
Semua 100 peratus saham dalam syarikat baharu UK itu dipegang oleh Nine Two Holdings LLC di Doha.
Pada bulan Februari, jurubank dari Qatar itu mengumumkan bidaannya akan dilaksanakan menerusi Yayasan Nine Two, merujuk kepada skuad akademi Class of ’92 United yang terkenal termasuk David Beckham.
Peminat United amat mahukan supaya Jassim menewaskan Sir Jim Ratcliffe dan Kumpulan Ineos dalam proses pengambilalihan.
Jassim dikatakan membida lebih daripada £5.5 bilion (RM32 bilion) untuk menguasai United sepenuhnya.
Tawaran Ratcliffe adalah bagi kawalan majoriti dan boleh menyaksikan sebahagian daripada keluarga Glazer, kemungkinan besar Avram dan Joel, diketepikan.
Awal minggu ini dilaporkan Jassim sudah dipilih sebagai pembida pilihan.
Namun sumber Qatar menafikan khabar angin itu.
Bagaimanapun menubuhkan syarikat induk di UK dianggap sebagai langkah untuk bersedia memeterai perjanjian itu secepat mungkin. – AGENSI