LONDON: Marcus Rashford meledak dua gol ketika Manchester United menewaskan Charlton 3-0 untuk mara ke separuh akhir Piala Liga, manakala Newcastle mengatasi Leicester 2-0.
Erik ten Hag melakukan lapan pertukaran ke atas skuadnya yang akan bertemu Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris Sabtu ini.
Antara tonggak yang kekal dalam kesebelasan utama ketika menewaskan Everton 3-1 Jumaat lalu adalah Antony dan dia membuka jaringan pada minit ke-21 di Old Trafford.
Charlton bagaimanapun memberi saingan sengit kepada anak buah Ten Hag dan pengendali dari Belanda itu terpaksa memasukkan Casemiro, Rashford dan Christian Eriksen untuk tempoh 30 minit terakhir.
Rashford akhirnya memastikan kemenangan buat tuan rumah pada minit ke-90, menjaringkan gol dalam lapan perlawanan berturut-turut di Old Trafford.
Pemain England itu kemudian melebarkan jumlah jaringannya musim ini kepada 15 gol hasil hantaran Casemiro di akhir masa kecederaan.
“Kami perlu mara ke separuh akhir dan tugas itu disempurnakan. Saya rasa ia sepatutnya dipastikan lebih awal tetapi matlamatnya adalah untuk mara, tahniah kepada pasukan,” kata Ten Hag.
Newcastle turut mara ke separuh akhir Piala Liga buat pertama kali sejak tahun 1976 selepas anak buah Eddie Howe semakin hampir untuk menamatkan kemarau trofi 54 tahun di Tyneside.
“Ia amat bermakna untuk memenangi trofi tetapi kami perlu fokus kepada perlawanan seterusnya. Penyokong cukup hebat. Mereka mengikut kami dalam jumlah yang besar dan suasana yang hebat di laman sendiri.
“Kami mahu membuatkan mereka bangga dengan memberikan segalanya di atas padang,” kata bek kanan, Kieran Trippier.
The Magpies membuka jaringan menerusi Dan Burn dalam aksi di St. James Park sebelum Joelinton menggandakan jaringan hasil hantaran Miguel Almiron.
Manchester City kekal sebagai pilihan utama di kejohanan ini selepas menang empat kali sepanjang lima tahun lalu.
Skuad kendalian Pep Guardiola itu akan bertandang ke Southampton untuk aksi suku akhir malam ini manakala Nottingham Forest akan melayan kunjungan Wolves.