MANCHESTER: Dua kali ketinggalan, Manchester United akhirnya menarik nafas lega menundukkan pasukan tercorot Sheffield United 4-2 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, awal pagi tadi.
Watak penting kemenangan United jelas ditampilkan kapten pasukan Bruno Fernandes yang menyelamatkan skuadnya menerusi dua gol.
Selepas Jayden Bogle dan Ben Brereton Diaz meletakkan pelawat di depan tetapi Fernandes membantu mengelakkan satu lagi keputusan buruk apabila menyamakan kedudukan menerusi penalti minit ke-61 selepas berlaku kekasaran ke atas Harry Maguire, penjaring gol penyamaan pertama United.
Fernandes kemudiannya merembat kencang gol ketiga sebelum membantu Rasmus Hojlund melengkapkan kemenangan di hadapan penyokong sendiri.
“Pada akhirnya kami dapat tiga mata. Kami meletakkan diri sendiri dalam situasi sukar untuk menang tetapi ia juga menunjukkan sedikit karakter,” kata pemain Portugal itu.
“Kami menjaringkan banyak gol. Ia hanya mengenai kesefahaman yang diperlukan sebagai satu pasukan.” tambah Fernandes.
Apa sekalipun ia satu lagi persembahan kurang menarik skuad Erik ten Hag yang melepaskan 50 gol liga walaupun kemenangan membolehkan United memintas Newcastle United di tangga keenam sekali gus terus memburu tiket Eropah.
“Banyak aspek positif hari ini,”
“Semangat perjuangan untuk bangkit selepas dua kali tewas. Tetapi ada juga aspek negatif. Kami melepaskannya, ia tak boleh berlaku dan kami perlu belajar daripada ini.” ujar Ten Hag.
Sheffield United pula hanya meraih 16 mata daripada 34 perlawanan dan akan tersingkir jika tewas di tangan Newcastle hujung minggu ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.