KUALA LUMPUR: Skuad hoki remaja lelaki negara menamatkan kempen Piala Remaja Asia 2024 di tempat keempat selepas tewas 2-1 kepada Jepun dalam aksi penentuan tempat ketiga di Muscat, Oman, hari ini.
Dalam perlawanan di Stadium Hoki Oman Al Marat, Jepun memulakan aksi dengan penuh agresif apabila Tanaka Tsubasa membuka jaringan menerusi gol padang seawal minit ketujuh.
Fujiwara Yuma kemudian menggandakan kedudukan hanya dua minit selepas itu, meletakkan skuad negara di bawah tekanan besar.
Malaysia bangkit pada suku kedua apabila Mohammad Harris Iskandar Osman menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-23 untuk merapatkan jurang namun usaha gigih anak buah I Vikneswaran mencari gol penyamaan tidak berhasil.
Pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah Piala Remaja Asia ialah muncul juara pada edisi 2012 di Melaka manakala pada edisi terakhir di Salalah, Oman, skuad Young Tigers juga menamatkan saingan di tempat keempat.
Mereka berjaya megesahkan slot ke Piala Dunia Remaja 2025 di India, selaku enam pasukan terbaik ditawarkan tempat ke kejohanan dunia itu tahun depan. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.