Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
KUALA LUMPUR: Hanya selangkah sahaja lagi untuk Malaysia terus cipta sejarah dalam arena sukan elektronik selepas mara ke perlawanan akhir bagi judul permqin Mobile Legends Bang Bang di Kejohanan Dunia E-Sukan (WEC 2024) yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi.
Kejayaan Malaysia mara ke penentuan kejuaraan dilakar selepas gah menafikan cabaran Indonesia di peringkat separuh akhir menerusi kemenangan 2-1.
Malaysia yang membariskan hampir sepenuhnya pemain SRG diketuai Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie), Ilman Zareef Zulkifli (Gojes) dan ‘Gold Laner’ pasukan JP Niners, Ealtond Rayner (Lolealz) cemerlang mencuri mata pertama selepas menutup aksi yang berlangsung selama 14 minit.
Sekys yang menggunakan hero ‘Fanny’ jelas berada dalam kelas berbeza apabila menjadi tonggak buat pasukan Malaysia mengunci mata pertama.
Sedar dengan peluang Malaysia untuk ke final lebih awal, strategi berbeza digunakan Indonesia pada ‘game’ kedua.
Penggunaan hero ‘Irithel’ oleh Calvin Winata (CW) jelas memberikan kelebihan kepada Indonesia yang lega mengikat kedudukan 1-1, mengheret permainan ke perlawanan penentuan.
Kali ini, aksi berbeza disajikan Malaysia penggunaan hero ‘Alpha’ oleh Sekys selain aksi bertenaga Gojes dengan hero ‘Hylos’ menyaksikan hanya 11 minit diperlu skuad negara untuk menamatkan pertarungan, sekaligus mengesahkan kemenangan 2-1 ke atas Indonesia.
Skuad negara kini berpeluang untuk menebus kekalahan dalam peringkat kumpulan apabila dijadualkan bertemu Filipina pada aksi penentuan kejuaraan petang nanti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.