Tumpuan :
Sukan

Malaysia siap! gempur cabaran sukan 2025 di Pentas Antarabangsa

Oleh: Hasnida Hanim Ahmad Kamil

KUALA LUMPUR: Tahun 2025 bakal menjadi medan penting bagi sukan Malaysia, dengan atlet negara bersiap sedia menghadapi pelbagai kejohanan utama seperti Sukan SEA di Thailand dan Sukan Asia.

Temasya ini membuka peluang besar kepada Malaysia untuk mencipta kejayaan baharu dan mengukuhkan nama di peringkat antarabangsa.

Sukan SEA 2025 dijangka menjadi platform penting bagi atlet muda negara untuk menguji kemampuan mereka serta mencabar negara jiran.

Tumpuan juga terarah kepada skuad bola sepak negara, yang kini melalui fasa pembaharuan dijangka turut memberi saingan sengit dalam temasya tersebut.

Menurut Penganalisis sukan negara, Mohd Sadek Mustaffa, potensi kejayaan Malaysia bergantung kepada usaha bersama. “Seriusnya kita dalam aspek tersebut, dan kita perlukan sokongan dan kita perlukan bantuan dari semua pihak,” katanya dalam Podcast Edisi Khas Sukan yang disiarkan di platform media sosial Buletin TV3, semalam.

Tambah Sadek, kejayaan atlet pada tahun 2025 bergantung kepada sokongan dalam meningkatkan infrastruktur sukan dan menyediakan kemudahan latihan yang lebih baik.

“Latihan terbaik dan peralatan sukan terkini akan memastikan atlet kita mampu bersaing di peringkat dunia,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan pentingnya kerajaan dan badan sukan negara terus memberikan sokongan menyeluruh kepada atlet, termasuk menjaga kebajikan mereka sepanjang persiapan menuju kejohanan besar.

“Jiwa dan raga itu kita boleh lihat bila dia merasai ada atas podium itu. Kalau mendengar lagu Negaraku dia menitis air mata maksudnya dia menyentuh hati dalam tu sebagai wira,” katanya.

Dengan persiapan teliti, semangat tinggi, dan sokongan berterusan, atlet Malaysia diyakini mampu mencipta kejayaan gemilang dalam cabaran sukan utama tahun depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini