Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin
KUALA LUMPUR: Melangkah ke 2025 bererti bermulalah cabaran dan episod baharu arena sukan negara.
Sekali lagi, harapan sentiasa menggunung tinggi digalas atlet-atlet menuju ke kalendar pertandingan tahun ini.
Sukan SEA ke-33 di Thailand dijadual Disember merupakan tugasan tunggal temasya berbilang acara
namun tetap memegang indeks petunjuk prestasi (KPI) medan awal jaguh dalam pembikinan.
Ia masa yang sesuai buat atlet serta penggiat sukan negara merealisasikan azam tahun ini.
Malaysia tidak boleh lagi berpuas hati dengan pencapaian lampau yang pernah dinikmati, kerana pasti akan ditinggalkan negara-negara pencabar lain.
“Berdasarkan pengalaman saya, kita punyai sumber yang cukup, peruntukan cukup, sokongan kuat daripada kerajaan dan kita juga juga punyai satu struktur pembangunan atlet konsisten, pelapis dan sukma, apa yang penting ialah sediakan program latihan terbaik, pendedahan pertandingan terbaik serta kepakaran jurulatih terbaik,” kata bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Boling, skuasy, wushu dan badminton antara yang memiliki reputasi kukuh di arena antarabangsa sekaligus mampu kekal bersinar.
Hoki wanita dan sepak takraw pula mula memikat dengan potensi tersendiri sementara sukan lain termasuklah olahraga, basikal serta akuatik memerlukan formula kebangkitan.
Sedar tak sedar, kitaran genting sudah bermula berbaki 12 bulan sahaja lagi sebelum Malaysia mengambil bahagian di temasya dwi tahunan Asia Tenggara.
Bukan lagi rahsia, Sukan SEA dilabel medan pendedahan atlet baharu serta pelapis berpotensi menjadi jaguh masa hadapan.
Malaysia bakal menganjurkan edisi seterusnya 2027 nanti, justeru boleh menimbang kaedah persiapan sewaktu di Singapura 10 tahun lalu yang menjadi titik tolak menjuarai temasya Kuala Lumpur (KL) 2017.
“Jadi Sukan SEA 2025 adalah satu tapak, dimana MSN dan persatuan sukan, seharusnya sudah mula dapat letakkan kumpulan atlet mana yang akan bertanding 2027 nanti, 2025 ni indikasi penting, kita harus bermula awal kemudian kita ada dua kitaran yang boleh dilalui dan sepatutnya sekarang dah ada kumpulan atlet yang bersedia bertanding di Thailand.” jelas beliau yang menerajui agensi sukan kerajaan tersebut sejak 2014 hingga bersara tahun 2023.
Paling penting program pembangunan akar umbi di serata tanah air perlu terus dilaksanakan secara agresif.
Baharulah pengganti mahupun pelapis dapat dibekalkan, dibantu kewujudan gelembung kompetetif yang menjadi resepi China antara gergasi sukan dunia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.