KUALA LUMPUR: Skuad boling lelaki negara berjaya mengekalkan penguasaan dalam acara trio pada Kejohanan Boling Tenpin Asia (ATBC) ke-26 sekali gus meraih satu-satunya pingat emas buat Malaysia pada saingan itu setakat ini.
Pada aksi berlangsung di Pusat Boling Persatuan Olahraga China Selatan di Hong Kong hari ini, trio dibarisi Muhammad Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol dan Timmy Tan mempamerkan aksi cemerlang selepas melakukan 4,677 jatuhan pin.
Keputusan diraih gandingan negara itu jauh meninggalkan trio Korea Selatan dibarisi Park Donghyuk, Park Geonha dan Ji Geun yang mencatat 3,661 jatuhan pin.
Satu lagi trio negara dibarisi Syazirol Shamsudin, Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam dan Syafiq Ridhwan Abdul Malik pula dipisahkan dengan 44 jatuhan pin dengan wakil Korea Selatan itu, dan terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.
Dalam pada itu, hasrat skuad boling wanita negara mempertahankan pingat emas acara sama tidak kesampaian selepas gandingan dibarisi Gillian Lim, Nora Lyana Nastasia Norkamal dan Puteri Nurul Dini Faudzi terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mengumpul 4,255 jatuhan pin.
Trio Singapura mengungguli acara berkenaan selepas melakukan 4,463 jatuhan pin sementara pingat gangsa milik pasukan Korea Selatan yang mencatat 4,218 jatuhan pin.
Setakat ini, skuad boling negara meraih satu emas, empat perak dan dua gangsa pada kejohanan itu selain akan meneruskan misi menambah koleksi pungutan pingat menerusi acara lima berpasukan (14 hingga 16 Jan) dan masters (17 hingga 18 Januari).
Pada edisi ATBC 2019 di Kuwait, Malaysia muncul juara keseluruhan selepas memenangi enam pingat emas, satu perak dan empat gangsa. – BERNAMA