comscore
Tumpuan :
Sukan

Malaysia naib juara Kejohanan Bola Keranjang 3X3 FIBA Asia B-23 2024

KUALA LUMPUR: Pasukan lelaki 3X3 negara berjaya perbaiki kedudukan di tempat kedua pada Siri Ketiga Kejohanan Bola Keranjang 3X3 FIBA Asia B-23 2024 yang berlangsung di ibu negara, hari ini.

Selepas menduduki tempat ketiga dalam dua siri terdahulu, Malaysia terpaksa akur selaku naib juara selepas tewas tipis 19-21 di tangan New Zealand petang tadi.

Terdahulu pada saingan kelayakan peringkat kumpulan, Malaysia tidak berdepan masalah untuk mencatat dua kemenangan berturut-turut.

Bermula dengan menewaskan Singapura 20-15; seterusnya mengatasi cabaran sengit Qatar dengan kemenangan  20-19.

Kejayaan itu sekaligus membawa ke pertembungan akhir menyaksikan Malaysia berdepan New Zealand.

Pasukan negara dibarisi Chong Zhen Yang, Leong Zhen Kang, Yap Jin Xi dan Yap Run Sam beraksi cukup baik walaupun berdepan lawan berfizikal lebih kuat.

Ia menyaksikan jurang mata yang kecil ditampilkan kedua-dua pasukan sebelum New Zealand menang tipis 21-19.

Sebagai rekod, ini adalah kemenangan kedua diraih New Zealand selepas mengungguli siri pertama, Isnin lalu.

Tiga lagi pusingan bersambung  Jumaat hingga Ahad ini.

Kejohanan menawarkan satu slot automatik bagi kategori lelaki dan wanita ke saingan Piala Dunia FIBA 3X3 2024 yang dijadualkan berlangsung di Ulaanbaatar, Mongolia pada 11 hingga 15 September depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini