Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin
KUMAMOTO: Leong Jun Hao menempuhi permainan paling memberangsangkan dalam kariernya apabila bangkit menewaskan Jonatan Christie dalam tempoh sejam 17 minit.
Pemain perseorangan lelaki kebangsaan itu pada mulanya tunduk 10-21 namun berjaya memerangkap lawan dari Indonesia yang menghuni ranking enam dunia dalam dua permainan berikutnya.
Disebalik ditinggalkan jauh mata 9-14 semasa set kedua dan 10-17 di permainan ketiga, semangat juang tinggi pemain berusia 25 tahun itu memastikannya terlebih dahulu mencapai mata kemenangan.
Catatan 21-18, 22-20 selepas itu menyaksikannya melangkah ke perlawanan akhir Jelajah Dunia Super 500 buat kali pertama hasil kejayaan menumbangkan Lakshya Sen, Koki Watanabe serta Kodai Naraoka sejak Rabu lalu.
Dua lagi wakil negara pula kandas di separuh akhir di Kumamoto Prefectural Gymnasium apabila beregu lelaki profesional Nur Mohd Azryn Ayub/ Tan Wee Kiong tewas kepada Takuro Hoki/ Yugo Kobayashi dari Jepun dengan keputusan 12-21, 15-21.
Goh Soon Huat/ Shevon Lai juga terpaksa akur dengan keputusan 21-18, 20-22, 14-21 di tangan wakil Thailand Dechapol Puavaranukroh/ Supissara Paewsampran.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.