Oleh: Syakirah Zulkifly
KUALA LUMPUR: Skuad bawah 19 (B-19) tahun negara terus menyalakan peluang ke pusingan akhir Piala Asia B-20 2025, selepas meraih satu mata apabila terikat tanpa jaringan dengan Korea Utara dalam aksi kedua Kumpulan E kempen kelayakan Piala Asia B-20 2025, sebentar tadi.
Skuad negara terlepas peluang meraih kemenangan kedua di Stadium Republican Central, Dushanbe, Tajikistan itu apabila Korea Utara beraksi dengan kekurangan seorang pemain selama 30 minit.
Pada aksi itu, babak pertama berakhir tanpa jaringan selepas kedua-dua pasukan buntu untuk menghasilkan gol terutama Korea Utara yang dilihat lebih menguasai permainan.
Penguasaan skuad kendalian Jon Chol bagaimanapun terjejas ketika perlawanan memasuki minit ke-65 apabila mereka terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Jong Un Hyok dilayangkan kad merah.
Tonggak pertahanan Korea Utara itu dihukum dengan kad kuning kedua kerana mengasari pemain Harimau Malaya B-19, Haykal Danish Mohd Haizon.
Haykal hampir memecah kebuntuan pada minit ke-67, namun sepakan percumanya ke penjuru kiri gawang Korea Utara diselamatkan penjaga gol, Hong Kil Ryong.
Meksipun berjaya melakukan beberapa gerakan dan beberapa lagi percubaan selepas itu, anak buah Juan Torres Garrido gagal menghasilkan jaringan yang menyaksikan kedudukan 0-0 kekal hingga wisel penamat.
Harimau Malaya B-19 yang mengejutkan Oman 2-1 dalam aksi pertama, Sabtu lalu berkongsi empat mata bersama Korea Utara dan berada dalam kelompok dua teratas kumpulan.
Skuad negara seterusnya akan berdepan satu lagi tugas sukar apabila menentang tuan rumah, Tajikistan di gelanggang sama Jumaat ini, sebelum aksi terakhir melawan Sri Lanka, Ahad ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.