IPOH – Skuad wanita negara berjaya ke pusingan penentuan tempat ketiga atau keempat Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Piala Tuanku Zara menentang Australia esok selepas mengalahkan New Zealand 5-4 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, hari ini .
Kemenangan ke atas New Zealand menyaksikan kendalian Mohd Badrul Hisham Osman menamatkan saingan liga sepusingan di tempat keempat peringkat kumpulan.
Dalam perlawanan terakhir itu, Malaysia pasukan yang mendudukki ranking ke-39 dunia dan New Zealand (21 dunia) menampilkan persembahan menghiburkan apabila sering berbalas jaringan sehingga kedudukan terikat keempat sama pada satu ketika.
Malaysia lebih dahulu membuka jaringan melalui Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun seawal minit keempat tetapi lawan menyamakan kedudukan menerusi Hannah Cardno pada minit ketujuh
Giliran New Zealand di hadapan menerusi jaringan Tegan Buchanan dan Jessica Kelly pada minit ke-10 dan 13.
Nur Hafizah Maznan kembali merapatkan kedudukan pada minit ke-16 untuk menamatkan separuh masa pertama dengan ketinggalan 2-3.
Selepas rehat Iren Hussin menyamakan kedudukan 3-3 pada minit ke-21 tetapi Jessica sekali lagi meletakkan New Zealand di hadapan 4-3 pada minit ke-30.
Namun hanya seminit berselang, Iren menyamakan kembali kedudukan 4-4.
Ketika perlawanan bagaikan berakhir 4-4, Fazilla Sylvester Silin meledak gol kemenangan Malaysia empat minit sebelum perlawanan tamat.
Berdepan Australia esok, skuad negara berpeluang untuk menebus kekalahan 2-3 di tangan pasukan itu dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan.