Tumpuan :
Sukan

Malaysia, Indonesia dalam satu kumpulan lagi

Keputusan undian Kejuaraan B-23 AFF 2023. – FOTO: FAM_Malaysia/ Twitter

KUALA LUMPUR: ‘Jodoh’ Malaysia dan Indonesia tampak begitu kuat apabila sekali lagi diundi dalam kumpulan sama bagi saingan Kejuaraan Bawah 23 tahun (B-23) AFF 2023 yang akan berlangsung di Thailand, Ogos depan.

Selepas majlis undian yang berlangsung sebentar tadi, Malaysia dan Indonesia diundi dalam Kumpulan B bersama satu lagi pasukan, Timor Leste.

Ini adalah kali ketiga berturut-turut ‘Harimau Muda’ dan ‘Garuda Muda’ akan berentap seawal peringkat kumpulan selepas diundi dalam kumpulan sama bagi edisi 2019 dan 2022.

Sementara itu, juara bertahan, Vietnam diundi dalam Kumpulan C bersama Filipina dan Laos manakala Kumpulan A pula menampilkan Thailand, Kemboja, Brunei dan Myanmar.

Pada edisi 2022 di Kemboja, Malaysia tersingkir di peringkat kumpulan apabila tewas dua kali di tangan Laos selepas hanya dua pasukan kekal bertanding memandangkan Myanmar dan Indonesia menarik diri.

Edisi itu dimenangi Vietnam untuk kejuaraan pertama mereka apabila mereka menewaskan Thailand 1-0 pada aksi final di Stadium Prince.

Sebagai rekod, ini adalah penganjuran edisi keempat dengan edisi pertama pada 2005 dimenangi oleh Thailand sebelum saingan itu dihentikan sehingga 2011 dengan tuan rumah adalah Indonesia namun dibatalkan.

Ia dilangsungkan semula pada 2019 di Kemboja yang menyaksikan Indonesia muncul juara selepas menewaskan Thailand 2-1 dan edisi ketiga pada 2022 juga berlangsung di Kemboja.

Loading...
Terkini