comscore
Tumpuan :
Sukan

Malaysia buru tiga pingat lagi untuk capai sasaran 

FOTO: Majlis Sukan Negara Malaysia/ Facebook

HANGZHOU: Malaysia menambah empat pingat lagi masuk hari keempat Sukan Para Asia Hangzhou 2022 yang berlangsung semalam.

Kemenangan menerusi sukan tenis kerusi roda diraih bagi acara beregu lelaki menerusi Abu Samah Borhan dan Mohamad Yusshazwan Yusoff di Pusat Tenis Sukan Olimpik Hangzhou.

Secara keseluruhan, Malaysia menambah empat pingat secara teknikal, menjadikan baki tiga pingat lagi untuk mencapai sasaran kontinjen negara pada temasya itu.

Malaysia kini mengumpul tujuh emas, 12 perak dan 13 gangsa serta masih berada dalam landasan tepat bagi melengkapkan sasaran 35 pingat, berbaki sehari lagi sebelum temasya empat tahun sekali itu melabuhkan tirai malam esok.

Dalam pada itu, biarpun pada awalnya Malaysia tewas di tangan gandingan Korea Selatan Han Sung Bong-Im Ho Wan 0-2 pada perlawanan penentuan emas, beregu negara berjaya menamatkan penantian 13 tahun skuad tenis berkerusi roda.

Manakala di Velodrom Chun’ An Jieshou, menyaksikan kemenangan pingat gangsa, skuad berbasikal trek menerusi Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais-Nurul Suhada Zainal (jurumudi).

Nur Azlia memenanginya dalam acara ujian masa wanita B (masalah penglihatan) apabila menamatkan saingan dengan catatan 29 minit 19.38 saat.

Dua pingat gangsa menerusi kem badminton negara juga diraih dalam acara perseorangan lelaki WH1 (kecacatan fizikal) dan beregu lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di Gimnasium Binjiang.

Muhammad Ikhwan Ramli memastikan gangsa selepas tewas di tangan pemain China, Qu Zimo pada separuh akhir kelmarin, namun pengesahan rasmi hanya dibuat semalam.

Beregu lelaki negara Cheah Liek Hou-Muhammad Fareez Anuar menambah gangsa, selepas tewas pada separuh akhir kepada gandingan Indonesia, Dheva Anrimusthi-Hafizh Brilliasyah semalam, namun pengesahan rasmi hanya akan dibuat hari ini.

Pemburuan pingat akan diteruskan hari ini dengan fokus terhadap beberapa sukan bakal pelengkap kepada sasaran 35 pingat antaranya badminton, olahraga dan berbasikal trek.

China selaku tuan rumah pula, kekal mengungguli tangga teratas carta pungutan pingat dengan 157 emas, 128 perak dan 108 gangsa diikuti Iran (32-36-28) dan Jepun (30-33-41).

Loading...
Terkini